LABUAN – Pendakwah terkenal, Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah pukul 12.10 tengah malam tadi pada usia 43 tahun.
Berita pemergian pengurus kanan di Pusat Pungutan Zakat Labuan itu, disahkan pembantu rapat dan saudara mara Allahyarham awal pagi ini.
Allahyarham, yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan kerana komplikasi jantung, meninggalkan isteri, Marziawati Mardan dan anak lelaki, Ahmad Furqan yang berusia 12 tahun.
Ahmad Sharizal Ali, yang juga pengasas Madrasah Tahfiz Al-Quran Al Badr dikenali ramai kerana sering muncul dalam pelbagai forum dakwah Islam di platform media sosial, mahupun program televisyen dan radio.
Sementara itu, warga maya mula menzahirkan ucapan takziah dan berkongsi berita pemergian Allahyarham menerusi Facebook dan WhatsApp.
Difahamkan jenazah Ahmad Sharizal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Manggis, Kuala Penyu. - Semasa Berita